Saturday, February 21, 2009

4 export Halal product centre been identified

Edisi asal : 4 pusat produk halal eksport dikenal pasti
(parlimen - arkib : 23/09/2004 from http://www.utusanonline.com.my/)
KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan mengenal pasti empat kawasan yang sesuai dibangunkan sebagai pusat pengeluaran produk halal bagi tujuan eksport iaitu di Pulau Indah (Selangor); Pedas (Negeri Sembilan); Gambang (Pahang) dan Paya Pahlawan di Kedah.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kawasan itu dibangunkan menerusi kerjasama antara pihak kerajaan dan sektor swasta.

Beliau memberitahu, produk makanan halal tempatan mempunyai potensi cerah untuk menguasai pasaran global berdasarkan permintaan tinggi di pasaran dunia disebabkan kualiti makanan yang dihasilkan adalah bersih dan bermutu.

``Kerajaan bersama sektor swasta kini mengambil inisiatif meneroka pasaran produk makanan halal kerana ia mempunyai potensi besar untuk menguasai pasaran makanan dunia,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau memberitahu, negara mempunyai landasan kukuh untuk memasarkan produk halal kepada kira-kira 1.2 bilion masyarakat Islam di seluruh dunia.

Menurut Ahmad Husni, beberapa negara lain seperti Thailand, Singapura dan Australia turut memasarkan produk makanan halal tetapi permintaan lebih tertumpu kepada negara ini kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Katanya, kerajaan Selangor misalnya sudah menyiapkan prasarana lengkap bagi menjadikan Pulau Indah sebagai pusat sehenti produk halal di negara ini manakala Prima Agri Products Sdn Bhd pula sudah mengeksport produk keluarannya ke Eropah.

Menjawab soalan asal Datuk Abdul Rahim Bakri (BN-Kudat) katanya, jumlah pelaburan bagi subsektor pengeluaran makanan yang diluluskan kementerian pada tahun lalu ialah RM1.1 bilion dan pengeluaran produk terpilih pada tahun yang sama bernilai RM9.6 bilion.

``Eksport makanan yang diproses pada tahun lalu berjumlah RM7.6 bilion iaitu mewakili 1.4 peratus jumlah keseluruhan eksport negara,'' katanya.

Ditanya mengenai penggunaan logo halal pada barangan itu, katanya, logo halal itu juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan mengikut pematuhan standard antarabangsa.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilantik sebagai badan pensijilan tunggal dan membangunkan keupayaan Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sebagai badan berkuasa bagi pensijilan halal.

Beliau berkata, sehingga akhir 2003, sejumlah 2,062 sijil halal dikeluarkan.